Dikalangan alim ulamak dalam Sejarah Islam, terdapat perbezaan pendapat mengenai sumber pendapatan yang terbaik. Imam Syafie r.a. berpendapat bahawa perniagaan adalah sumber pendapatan yang terbaik. Imam Abu Hasan Mawardi r.a. dan alim ulamak yang sependapat dengannya berkata bahawa pertanian (bercucuk tanam) adalah punca pendapatan yang terbaik. Manakala Imam Nawawi r.a. berpendapat bahawa punca pendapatan yang terbaik adalah sebarang usaha yang dilakukan dengan tangan sendiri. Tentu sekali ini termasuk perniagaan dan pertanian.
Pekerjaan yang terbaik
Perniagaan dan perdagangan adalah pekerjaan yang terbaik selepas perkerjaan yang dilakukan untuk berkhidmat bagi kepentingan agama. Ini adalah disebabkan ahli perniagaan adalah pemilik dan penguasa masanya sendiri. Mereka juga boleh berkhidmat untuk agamanya dengan mengajar, belajar dan menyampaikan seruan Islam walaupun ia terlibat dengan dunia perniagaan. Selain dari itu terdapat berbagai-bagai hadis yang menjelaskan mengenai kelebihan-kelebihan perniagaan iaitu:
"Sesungguhnya Allah telah membeli harta dan diri orang mukmin dan untuk mereka adalah syurga." (At-Taubah 111)
Ganjaran untuk kejujuran ahli perniagaan
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada." (At-Tirmidzi)
Sifat-sifat ahli perniagaan Islam
Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya sebaik-baik pekerjaan untuk memperolehi pendapatan adalah pendapatan para peniaga dimana apabila bercakap, mereka akan bercakap benar dan tidak berdusta. Apabila mereka diberi amanah mereka tidak akan mengkhianatinya, apabila berjanji mereka tidak memungkirinya, apabila mereka membeli mereka tidak mencela apa yang dibeli oleh mereka itu. Apabila mereka menjual, mereka tidak akan memuji-muji berlebih-lebihan barang-barang yang mereka jual tersebut. Jika mereka disuruh untuk membayar (hutang) mereka, mereka tidak akan berdalih-dalih dan apabila orang yang berhutang lambat membayarnya, mereka tidak akan menyempitkan si berhutang." (At-Tarqhib)
Akibat buruk yang menimpa umat Islam jika tidak melibatkan diri dalam perniagaan.
Rasulullah bersabda ertinya:
"Aku berwasiat kepada kamu supaya berlaku baik terhadap ahli perniagaan kerana mereka adalah orang tengah di antara ufuk timur dan barat dan pemegang amanah Allah di atas muka bumi." (Tarateeb al-Idaariya)
Mulakan kerja di awal pagi
Imam At-Tirmidzi r.a.telah memulakan satu bab di dalam kitabnya yang masyur yang diberi tajuk: "Memulakan perniagaan diawal pagi." Dalam bab itu, kita menemui satu hadis dimana Sakhar Ghamidy r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w.telah berdoa: "Ya Allah! Rahmatilah umat ini lantaran usaha mereka di awal pagi."
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bangunlah pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan."
(At-Tabrani dan Al-Bazar)
Penipu bukanlah dari umat Rasulullah s.a.w
Islam mengharamkan semua bentuk penipuan, baik dalam urusan jual beli, mahupun dalam hal-hal lain mu'amalah. Seorang muslim dituntut untuk berlaku jujur dalam urusannya. Sebab keikhlasan dalam beragama,nilainya lebih tinggi daripada seluruh usaha duniawi.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Dan orang yang sedang melakukan jual beli dibolehkan tawar menawar selama sebelum berpisah, jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri barang niagaannya) maka mereka akan diberi berkat dalam perniagaannya itu, tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri barang niaganya) berkat perniagaannya itu akan dihapuskan." (Bukhari)
sabda Rasulullah s.a.w:
"Tidak halal seseorang menjual sesuatu barangan,melainkan dia harus menjelaskan ciri barang dagangannya itu dan tidak halal seseorang yang mengetahuinya,melainkan dia harus menjelaskannya." (Hakim dan Baihaqi)
Jelaslah antara pekerjaan yang terbaik adalah dari usaha sendiri seperti perniagaan dan pertanian. Semua orang boleh melaksanakannya kerana perniagaan dan pertanian boleh dibuat secara kecilan, memenuhi masa terluang yang jika dibiar akan berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Ringankanlah tulang untuk berusaha pasti Allah akan meringankan rezeki untuk kita semua.
Yang menanam sahaja akan mendapat buahnya, yang memacakkan joran di sungai sahaja akan mendapat ikan, yang menjual sahaja akan mendapat untung. Berkeluh kesah kerana tak cukup pendapatan dari gaji tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan Allah tidak akan membantu tetapi mengambil dayausaha meskipun sedikit pasti Allah akan turun rezeki sepadan usahanya. Yang tidur waktu lapang, tidak akan menambahkan apa-apa pendapatan baginya. Yang menangisi nasib, pastilah hingga kering air matanya, nasibnya masih tidak berubah. Wallahua’aklam.
SUMBER : PPDKMY.NET
SUMBER : PPDKMY.NET
Tiada ulasan:
Catat Ulasan